IPOH: Dua lelaki disahkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulau ke Cameron Highlands hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa yang terkorban ialah pemandu lori sayur Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Katanya, mayat terakhir iaitu Muhammad Hafiz yang terperangkap dalam kenderaannya dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.55 malam.

Terdahulu, pasukan SAR Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengeluarkan mayat Chee Heng pada jam 9.55 malam.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Buat masa ini, dua sahaja mangsa dalam kejadian ini.


AWANI Ringkas: Tanah runtuh di Cameron Highlands, kenderaan tertimbus

"Bagaimanapun, kita telah berbincang dengan Pengarah JBPM Perak bersama dengan Pegawai Daerah Kinta, APM dan JKR dan membuat keputusan untuk meneruskan pencarian.

"Kita khuatir jika ada lagi mangsa-mangsa yang tertimbus di tempat kejadian," katanya.

BACA: Kenderaan tertimbus dalam insiden tanah runtuh jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands

BACA: Tanah runtuh Simpang Pulai: Mayat pemandu lori ditemui, korban lebih daripada seorang

JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari tadi dan pemerhatian awal mendapati dua kenderaan dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan.

Operasi SAR segera dilancarkan termasuk kerja-kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut.

Menurut jurucakap JBPM Perak, pemandu lori itu pada petang kejadian, telah memberikan respons ketika usaha menyelamatkannya namun kemudian disahkan telah meninggal dunia.

Kira-kira 100 anggota dan pegawai pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) berada di lokasi serta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam operasi tersebut agar memudahkan kelicinan pengoperasian.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata hujan yang berterusan dipercayai menyebabkan berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.

"Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

"Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pawong Ismail Baloh, 51, berkata kejadian tanah runtuh itu disedari pada kira-kira pukul 2 petang semasa dia dalam perjalanan untuk ke Simpang Pulai.

"Saya nampak ada dua kenderaan bomba naik sebelum orang kampung cemas memberitahu tentang kejadian tanah runtuh ini," kata Ismail.