Orang ramai diseru bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini biarpun dalam situasi kelaziman baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, media sosial boleh digunakan sebagai salah satu platform mengekspresikan kempen Momen Negaraku bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan negara yang ke-63.

Rakyat boleh menyerlahkan kreativiti menerusi foto, video dedikasi, Tik Tok Merdeka Moment atau apa sahaja kemas kini dengan menyertakan tanda pagar #MomenNegara.

"Esok, tepat jam 12 tengah malam, saya menyeru rakyat Malaysia di mana pun anda berada, untuk menyanyikan lagu Negaraku, merakamkannya dan memuat naik detik itu ke laman sosial.

"Anda boleh muat naik gambar atau video ke laman sosial, dan jangan lupa sertakan tanda pagar #MomenNegaraku," katanya.

Beliau turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk berangkat menghadiri acara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Putrajaya, Isnin ini.

Berbeza daripada tahun sebelumnya, tahun ini tiada perarakan akan berlangsung sebaliknya stesen televisyen akan menyiarkan titah diraja secara langsung.

Saifuddin ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang dalam program Walkabout Merdeka di ibu negara, pada Sabtu.

Sebanyak 700 unit Jalur Gemilang dan bahan penerbitan berupa risalah PENJANA, poster sambutan Bulan Kebangsaan 2020 diedarkan kepada orang ramai dan premis perniagaan.