KUALA LUMPUR: Tanggapan umum bahawa budaya vaksinasi biasanya hanya dikaitkan dengan golongan kanak-kanak, menyebabkan ramai rakyat Malaysia masih berasa sangsi dengan vaksinasi COVID-19, kata pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Masita Arip. 

Beliau berkata masyarakat Malaysia kini perlu membiasakan diri dengan budaya menerima vaksin bagi menjamin rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan.

Katanya di Malaysia biasanya apabila sebut sahaja mengenai vaksin, ia sering dikaitkan dengan kesihatan kanak-kanak, jadi apabila negara berhasrat memberikan vaksin kepada hampir seluruh populasi atau 80 peratus penduduk negara, ia mengejutkan ramai.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk 'Vaksin vs COVID-19: Mana lebih Mudarat?' menurut Science Media Centre Malaysia (SMC) dalam satu kenyataan hari ini.

Sesi webinar itu disiarkan secara langsung di akaun Facebook SMC baru-baru ini.

Sementara itu Dr Masita berkata terdahulu penerima vaksin harus bersikap jujur kepada pegawai kesihatan yang menyaring sebelum mereka mendapat suntikan, bagi memastikan vaksin yang diterima itu selamat dan berkesan.

"Jadi kalau pegawai kesihatan bertanya mengenai latar belakang kesihatan, maka kita perlu jujur dan jangan berbohong.

"Kalau selepas disaring dan didapati tidak dibenarkan mendapatkan suntikan pada hari berkenaan, ia tidak bermaksud mereka tidak layak untuk divaksinasi.

"Ini kerana kita hendak pastikan bahawa mereka yang menerima vaksin itu stabil serta untuk mengelakkan tindak balas imun bercampur," katanya.

Menurut pakar penyakit berjangkit Prof Datuk Adeeba Kamarulzaman pula, kesan sampingan yang dialami penerima vaksin merupakan perkara biasa yang akan dihadapi oleh seseorang individu.

"Malah, ia merupakan petanda positif, yang bermakna tubuh penerima sedang bertindak balas dengan vaksin, namun jika seseorang itu tidak mendapat kesan sampingan vaksin, ia juga tidak bermaksud tubuh badan seseorang itu tidak memberikan respons terhadap vaksin.

"Ini kerana kesan sampingan adalah berbeza mengikut setiap individu," katanya.

-- BERNAMA