Tanggungjawab bentuk akhlak pelajar perlu dikongsi bersama - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Guru tidak harus dipersalahkan sepenuhnya apabila berlaku insiden tingkah laku tidak bermoral dalam kalangan pelajar sekolah kerana tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama oleh ibu bapa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan guru tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas salah laku pelajar kerana tanggungjawab membentuk akhlak perlu dikongsi bersama ibu bapa dan masyarakat.
- Beliau menyatakan sistem pendidikan sedia ada mempunyai kelemahan kerana lebih menekankan ilmu pengetahuan berbanding nilai moral, etika dan prinsip, yang menjadi punca insiden seperti buli dan rogol di sekolah.
- Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan reformasi menyeluruh termasuk cadangan penggubalan Akta Antibuli bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin pelajar.
"Saya tekankan masalah buli (itu disebabkan) pendidikan (yang menekankan) ilmu dan bukannya prinsip-prinsip nilai, moral dan etika... jadi, ada kecacatan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Anwar turut menzahirkan harapan agar wujud tekad bersama antara institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat untuk memperbaiki kelemahan itu demi membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak.
"Mudah-mudahan kita ada tekad untuk lakukan yang sebaiknya untuk keluarga, masyarakat dan negara kita," kata beliau.
Baru-baru ini, polis mengesahkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan telah ditahan reman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lepas.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid termasuk cadangan menggubal Akta Antibuli menggunakan sistem tribunal.
Cadangan itu kini diteliti oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami