Skip to main content

Malaysia

Tangisan dan pelukan erat iringi jemaah haji menuju ke Haramain

JEMAAH HAJI_ASTRO AWANI
Ratusan jemaah haji berkumpul Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick sebelum berlepas ke Tanah Suci hari ini. - Astro AWANI.

SEPANG: Titisan air mata dan pelukan erat ahli keluarga serta sahabat handai mengiringi pemergian para jemaah haji 2026 yang berangkat ke Tanah Suci.

Beberapa individu yang ditemu bual Astro AWANI di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick sebelum berlepas ke Tanah Suci hari ini turut menzahirkan rasa sebak namun sarat kegembiraan selepas terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima pada Mei nanti.

Advertisement

Pesara guru, Suhaimi Md Yusof dari Serkam, Melaka, tidak dapat menahan sebak apabila menerima giliran mengerjakan haji selepas bersara pada Februari lalu.

“Syukur tidak terhingga kerana akhirnya kami diterima sebagai tetamu Allah, moga kami dipermudahkan urusan dan memperoleh haji yang mabrur,” kata Suhaimi.

Manakala isterinya, Nor Hamiza Nuruddin yang bertugas sebagai guru menyifatkan detik keberangkatan ke Tanah Suci hari ini sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.

“Tak tahu nak cakap macam mana, setelah menunggu berbelas tahun, hari ini kami merasakan nikmat hadiah yang paling besar dalam hidup.

“Saya menangis apabila mendapat tahu kami terpilih, hampir setiap tahun kami membuat rayuan, dan apabila terpilih tahun ini, saya rasakan ia benar-benar satu rahmat daripada Allah,” kata Hamiza.

Sementara itu, Guru Kaunseling, Syed Asri Syed Sohor dan Isterinya Suriya Che Yaacob dari Ijok, Selangor turut berharap agar diberi kekuatan untuk berada di Tanah Suci dalam tempoh sebulan lebih.

“Sudah lama kami idamkan saat ini untuk ke Tanah Suci, walaupun pernah pergi umrah namun kali ini adalah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima dalam masa 47 hari,” kata Syed Asri.

Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), seramai 31,600 jemaah Malaysia bakal menunaikan ibadat haji bagi musim 1447H/2026M secara berperingkat.

Must Watch Video