MALAYSIA
Tangkis stigma negatif terhadap PLKN - Pengerusi MLKN

Golongan muda yang menyertai program itu tidak akan mengalami 'kerugian' sebaliknya mereka akan menerima pelbagai manfaat dalam membentuk jati diri. - Bernama
PEKAN: Stigma negatif terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu ditangkis dan ibu bapa harus memainkan peranan dalam memberikan galakan kepada anak mereka untuk menyertai program berkenaan.
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata golongan muda yang menyertai program itu tidak akan mengalami 'kerugian' sebaliknya mereka akan menerima pelbagai manfaat dalam membentuk jati diri.
Selain itu, beliau berkata program itu akan memberi nilai tambah kepada pelatih yang turut mendapat latihan asas ketenteraan, malah sepanjang 45 hari program berkenaan berlangsung kebajikan mereka turut dijaga, dan ibu bapa serta penjaga tidak perlu khuatir tentang aspek berkenaan.
"Sepanjang program itu segala keperluan mereka ditanggung, dengan perbelanjaan bagi seorang pelatih sebanyak RM3,150 tidak termasuk tambang perjalanan. Harap ibu bapa bantu beri kesedaran dan galakan, kita bukan nak aniaya anak mereka, PLKN nak bimbing ke arah kebaikan."Kalau yang tidak mahu datang itu mungkin ada stigma ... apa yang kita buat kini ada kebaikan, program juga telah diubah suai untuk lebih baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2/2025 di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 257 pelatih lelaki berjaya menamatkan latihan yang bermula pada 11 Mei lepas di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di sini, menyaksikan anak jati Papar, Sabah, Bartholomew Thierry Timothy dianugerahkan sebagai pelatih lelaki terbaik.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata peruntukan tersedia bagi menjayakan ini juga banyak, iaitu lebih RM400 juta termasuk bagi memperbaiki kem bagi pelatih menduduki dan menjalani latihan dengan selesa.
Bagi Bartholomew Thierry, 18, pengorbanan berjauhan dengan keluarga selama 45 hari dianggap berbaloi apabila terpilih sebagai pelatih terbaik setelah menyertai PLKN yang dianggap berjaya mendisiplinkannya menjadi individu yang lebih menepati masa.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat asasi sains di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata modul kenegaraan dan latihan asas ketenteraan juga telah membantunya membina jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berkualiti dan berfikir lebih positif.
"Tentunya memang bangga dipilih pelatih terbaik, kerana mula-mula saya sedikit sukar untuk menyesuaikan diri kerana daripada aspek ketepatan masa saya memang teruk, tetapi perkara itu dapat diatasi akhirnya dan saya juga menjadi orang yang lebih berkeyakinan," katanya.
Bekas anggota tentera Zarimi Isa, 50, yang juga bapa kepada pelatih Muhammad Hakim, 20, turut menyarankan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani PLKN yang sarat dengan kebaikan.
"Tak payah dengar benda negatif orang cakap pasal PLKN, ia satu program yang bagus untuk budak muda, dengan tempoh latihan hanya 45 hari bagi saya ia relevan" kata bapa kepada lima cahaya mata itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami