IPOH: Landskap batu kapur yang menghiasi sekitar Lembah Kinta bukan sekadar pemandangan semula jadi, sebaliknya menyimpan khazanah geologi, sejarah dan biodiversiti yang unik serta jarang ditemui di tempat lain.
Bagi aktivis Pemerhati Lembah Kinta (KVW), Ching Boon Tat, keunikan kawasan itu terletak pada sistem kars batu kapur yang membentuk bukan sahaja bukit-bukit ikonik malah turut mempengaruhi struktur sungai dan tasik di lembah berkenaan.
Advertisement
Menurutnya, kebanyakan orang hanya mengenali bukit batu kapur sebagai elemen landskap semata-mata, sedangkan keseluruhan sistem geologi di kawasan itu jauh lebih kompleks.
“Ramai tidak sedar bahawa dasar sungai di Lembah Kinta seperti Sungai Kinta, Sungai Pari, Sungai Kampar dan Sungai Pinji sebenarnya terbentuk daripada batu kapur.
“Di tempat lain seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor, kebanyakan dasar sungai terbentuk daripada granit. Namun di sini ia berbeza dan ini merupakan satu warisan alam yang sangat istimewa,” katanya kepada Sinar Harian.
Boon Tat berkata, fenomena unik itu dapat dilihat melalui kewujudan puncak-puncak batu kapur atau pinnacle yang muncul secara tiba-tiba di kawasan daratan termasuk berhampiran perumahan.
Menurutnya, struktur tersebut sebenarnya mempunyai sambungan geologi dengan gunung batu kapur yang lebih besar di bawah permukaan tanah.
“Puncak batu kapur ini bukan sekadar batu biasa. Ia bersambung dengan sistem batu kapur di bawah tanah yang menghubungkan bukit-bukit seperti Gunung Lang dan Gunung Tempurung.
“Setiap struktur ini ada sejarahnya dan mungkin mengandungi fosil hidupan laut purba yang terbentuk jutaan tahun dahulu. Ia sesuatu yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit,” jelasnya.
Namun begitu, beliau menyifatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan batu kapur masih rendah sehingga ada yang memusnahkan struktur tersebut tanpa kajian.
Menurutnya, situasi itu boleh menyebabkan kehilangan warisan geologi yang bernilai tinggi.
“Di Batu Gajah contohnya, terdapat puncak batu kapur yang mempunyai potensi besar dari segi kajian fosil tetapi tiada usaha serius untuk melindunginya.
“Kami bimbang jika kawasan itu dibangunkan untuk perumahan atau ladang pertanian, khazanah ini akan hilang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan alternatif dalam industri perlombongan batu kapur bagi mengurangkan kemusnahan bukit semula jadi.
Katanya, kira-kira 75 peratus sistem kars sebenarnya berada di bawah tanah dan boleh diperoleh daripada kawasan bekas lombong tanpa perlu meletupkan bukit batu kapur.
“Saya tidak menafikan keperluan industri terhadap batu kapur, tetapi ada kaedah lain yang lebih lestari.
“Sistem kars ini ibarat hutan yang mempunyai ekosistem tersendiri,” katanya.
Selain nilai geologi, kawasan batu kapur di Lembah Kinta juga mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan pendidikan.
Katanya, banyak kawasan hanya memerlukan penyelenggaraan minimum kerana keindahan semula jadinya sudah cukup untuk menarik pelancong.
Penemuan sejarah awal penempatan dalam gua
Sementara itu, aktivis alam sekitar dan bekas renjer Gunung Masoorat, Mohd Zairis Abdul Rani berkata, pengalaman meneroka bukit batu kapur di sekitar Ipoh membuka peluang untuk mengenali lebih banyak warisan alam di kawasan tersebut.
“Pada mulanya saya aktif dalam sukan wall climbing. Tetapi selepas beberapa tahun, minat saya lebih tertumpu kepada pendakian tebing batu kapur.
“Apabila menjelajah kawasan sekitar Ipoh, saya dapati terdapat banyak bukit batu kapur yang menarik dan di situlah saya mula mengenali pakar geologi, pengkaji fosil serta komuniti peneroka gua,” katanya.
Beliau kemudian menyertai aktiviti penerokaan gua bersama KVW dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk di kawasan Gunung Masoorat.
Menurutnya, hasil penerokaan itu membawa kepada penemuan sebuah gua lama yang dikenali sebagai Gua Loyang di bahagian atas tebing.
“Menurut pakar geologi, gua yang berada di bahagian atas biasanya lebih tua.
“Di Gua Loyang, kami menemui kesan penempatan awal manusia, termasuk fosil, peralatan lama serta lukisan prasejarah di dinding gua,” katanya.
Lukisan tersebut memaparkan imej hidupan laut seperti ikan gergaji, pari, sotong serta beberapa haiwan lain yang dipercayai menggambarkan keadaan persekitaran kawasan itu pada masa lampau.
Menurutnya, penemuan itu memberi petunjuk bahawa Lembah Kinta mungkin pernah menjadi kawasan pesisir atau laut pada suatu ketika dahulu.
Mohd Zairis berkata, selain nilai sejarah dan geologi, bukit batu kapur di Perak juga berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi sukan rekreasi dan pelancongan antarabangsa.
Beliau memberi contoh kawasan Gunung Lang yang kini mula menarik perhatian pendaki dari luar negara.
Menurutnya, kira-kira empat tahun lalu beliau membuka sekitar 28 laluan pendakian di kawasan tersebut dengan kerjasama komuniti pendaki Malaysia.
Ujarnya, model pembangunan seperti yang dilakukan di Krabi, Thailand boleh dijadikan contoh kerana kawasan batu kapur di sana mempunyai ribuan laluan pendakian dan menerima ratusan ribu pelancong setiap tahun.
Perlu perlindungan dan kesedaran
Walaupun banyak bukit batu kapur di sekitar Ipoh telah terjejas akibat aktiviti kuari, Mohd Zairis percaya masih terdapat kawasan yang boleh dilindungi.
Beliau berharap kerajaan negeri dapat mewartakan lebih banyak bukit batu kapur sebagai kawasan warisan atau zon pelancongan pendidikan.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja melindungi khazanah alam, malah berpotensi menjadikan Lembah Kinta sebagai destinasi geowarisan bertaraf antarabangsa. - Sinar Harian