TaniStats 2.0 DOSM perkukuh transformasi digital pertanian negara

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merasmikan pelancaran TaniStats 2.0 pada Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, sambil disaksikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh pendigitalan sektor pertanian negara dipertingkat apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperkenalkan TaniStats 2.0, platform statistik pertanian bersepadu yang memaparkan data huluan dan hiliran secara lebih moden, interaktif dan hampir masa nyata.
Inisiatif itu dianggap tonggak penting dalam menyokong transformasi perkhidmatan awam berasaskan data serta memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Pelancaran TaniStats 2.0 disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Putrajaya pada Ahad.
DOSM dalam kenyataan berkata platform yang dibangunkan secara dalaman itu mengintegrasikan pelbagai sumber data termasuk dapatan Banci Pertanian 2024, data pentadbiran agensi, harga agromakanan, indikator keterjaminan makanan dan maklumat rantaian bekalan dalam satu ekosistem digital.
“Pembangunan TaniStats 2.0 ialah tonggak transformasi pengurusan data pertanian negara yang menyokong teras ketiga gagasan Malaysia MADANI, iaitu Daya Cipta yang menekankan inovasi, pembaharuan dan pengupayaan modal insan,” menurut kenyataan itu.
“TaniStats 2.0 turut menyokong agenda Reformasi Sektor Awam khususnya dalam memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kerajaan, integrasi data antara agensi dan tadbir urus data yang lebih moden serta responsif,” jelas kenyataan DOSM.
Platform itu menghimpunkan rantaian nilai produk pertanian dari ladang hingga pengguna bagi pelbagai komoditi terpilih serta menampilkan statistik keterjaminan makanan merangkumi bekalan, penggunaan dan keseimbangan makanan.
Menurut DOSM, TaniStats 2.0 kini menampilkan penambahbaikan ketara menerusi Modul CitraTani iaitu Analitik Pertanian yang membolehkan pengguna meneliti trend pengeluaran, produktiviti, sokongan input dan maklumat subsektor mengikut kawasan.
“Sistem ini turut dilengkapi visualisasi interaktif dan geospatial yang memaparkan peta digital bagi memantau zon pengeluaran, kawasan kritikal dan risiko keterjaminan makanan dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Penambahbaikan platform itu turut diperkukuhkan dengan Agrobot, pembantu pintar berasaskan kecerdasan buatan generatif (AI) yang membantu pengguna menavigasi portal, mendapatkan penjelasan segera dan menjalankan analisis awal secara lebih efisien.
Dalam pada itu, DOSM turut mencatatkan pencapaian bersejarah apabila Malaysia buat pertama kali menduduki tangga pertama global dalam laporan dwitahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain.
“Pencapaian ini lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23,” tambah kenyataan itu.
Kejayaan itu dipacu kemajuan platform OpenDOSM NextGen yang menyediakan katalog data dan visualisasi interaktif bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai set data melalui portal terbuka open.dosm.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


