Walaupun sudah 50 tahun sejak penubuhan Malaysia, ahli sejarah berpendapat bahawa Hari Kemerdekaan yang membawa kepada pembentukannya adalah jauh lebih penting.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr
Ramlah Adam berkata Hari Kemerdekaan yang disambut pada tanggal 31 Ogos 1957 mempunyai signifikan melebihi Hari Malaysia kerana sekiranya negara tidak mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, Hari Malaysia tidak akan wujud.

"Idea untuk pembentukan Malaysia telah dirancang oleh British sejak tahun 1948 lagi, melalui kertas kerja Gabenor Jeneral Malaya, Sir Malcolm MacDonald yang bertajuk ‘The grand design of Malaysia’.

“Jadi, selepas Malaya diberi kemerdekaan pada tahun 1957, Allahyarham Tunku Abdul Rahman mencadangkan idea pembentukan Malaysia pada tahun 1961.

“Selepas itu, Hari Malaysia disambut pada 16 September, 1963 setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia dan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia, walaupun Singapura disingkirkan pada tahun 1965.

“Jika tiada Hari Kemerdekaan, tiadalah Hari Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Zainal Kling turut bersetuju bahawa Hari Kemerdekaan adalah lebih penting daripada Hari Malaysia kerana semasa idea untuk Hari Malaysia dicetuskan, tarikh 31 Ogos dilihat sebagai tarikh yang sesuai untuk dinamakan sebagai Hari Malaysia.

“Tarikh 31 Ogos sebagai Hari Malaysia telah dipersetujui di antara Tunku Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Britain, Herald Macmillan.

"Bagaimanapun, langkah itu mendapat tentangan hebat dari Indonesia kerana mereka menganggap
pembentukan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan atau kolonialisme.

“Oleh kerana bangkangan itu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan untuk mengadakan referendum atau pungutan suara untuk penduduk Sabah dan Sarawak.

Selepas hampir semua pihak bersetuju untuk membentuk Malaysia, Hari Malaysia diisytiharkan lewat sedikit iaitu pada 16 September, " katanya.

Ulang tahun ke-50 Hari Malaysia yang jatuh pada hari Isnin, akan disambut secara besar-besaran di Sarawak dengan perhimpunan dan perarakan yang melibatkan 92 kontinjen dengan lebih 4,000 peserta.

Sambutan itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah and Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib TunRazak.