Tanpa saksi, tuduhan liwat adalah qazaf - Mufti Wilayah

Bernama
Jun 14, 2019 14:12 MYT
ZULKIFLI: Bukti mestilah empat orang saksi yang melihat perbuatan tersebut yang mereka hendaklah seorang yang adil, tidak buta dan tidak fasik. - Gambar fail
Tuduhan liwat atas seseorang adalah satu kesalahan qazaf jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi atau pengakuan ikrar orang yang dituduh, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dalam Islam, katanya kaedah yang digunakan ialah bukti perlu dikemukakan oleh orang yang mendakwa atau menuduh, manakala orang yang dituduh boleh bersumpah terhadap kebenaran tuduhan tersebut.
"Mengikut kaedah itu, orang yang menuduh perlu mengemukakan bukti empat orang saksi yang melihat sejelas-jelasnya perbuatan tersebut.
"Dalam kes rakaman video hanya penolong kepada bukti iaitu bukti mestilah empat orang saksi yang melihat perbuatan tersebut yang mereka hendaklah seorang yang adil, tidak buta dan tidak fasik," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Aidilfitri di pejabatnya di sini hari ini.
BACA: 'Azmin tak pernah jumpa Haziq di Sandakan' - Hilman
Zulkifli mengulas mengenai aduan qazaf yang difailkan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Muhamad Hilman Idham di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung penyebaran video yang dikaitkan dengan Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin juga telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam video seks.
Qazaf adalah satu kesalahan jenayah syariah yang merujuk kepada tindakan menuduh seseorang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi.
-- BERNAMA
#Azmin Ali #bukti #empat saksi #fasik #Haziq Abdullah Abdul Aziz #Haziq Aziz #JAWI #jenayah syariah #kesalahan #liwat #Mohamed Azmin Ali #Muhamad Hilman Idham #pengakuan ikrar #qazaf #saksi #Sumpah #tuduhan #video seks #zina #Zulkifli Mohamad Al-Bakri