PETALING JAYA : Selain beribadah di bulan yang mulia, bazar Ramadan juga antara yang ditunggu-tunggu umat Islam di negara ini.

Di Petaling Jaya, sebanyak 22 tapak bazar Ramadan akan beroperasi mulai esok dengan kaedah urus niaga tanpa tunai atau cashless.

Bazar Ramadan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa buat pengunjung saban tahun setiap kali menjelang bulan Ramadan. Gambar: Fail

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir, bazar tahun ini dijangka memberi kelebihan berbanding tahun sebelumnya dengan tema Smart and Green Bazar.

"Tema bazar Ramadan kita pada tahun ini iaitu Smart and Green Bazar Ramadan makna kalau smart ini kita nak galakkan urus niaga berjalan kaedah tanpa tunai atau cashless.

"Kita nak kurangkan penggunaan wang tunai, Insya Allah kita akan mulakan di sini dan galakkan mereka, bagi mereka yang menggunakan cashless ini kita ada hadiah seperti mangkuk tingkat sebagai galakan," jelasnya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir menunjukkan petak-petak khas di Bazar Ramadan Kelana Jaya. Gambar: Astro AWANI

Tambahnya, bagi memastikan kaedah tanpa tunai berjalan lancar, turut ditempatkan pasukan daripada aplikasi e-dompet tempatan Boost dan Maybank untuk membantu pelanggan.

Sebanyak 1,371 petak perniagaan dibuka dari 22 tapak bazar Ramadan yang bermula esok dengan kos sewaan bermula dari RM50 sehingga RM300 bergantung kepada produk jualan peniaga.

Bagi memastikan pengurusan bazar Ramadan berjalan lancar, Mohamad Azhan menjelaksn, pihaknya turut disediakan tapak khas parkir bagi perkhidmatan p-hailing.

"Kita warnakan petak bazar mengikut jenis makanan yang dijual sejak tahun 2017 lagi.

"Ada warna kuning untuk petak jualan secara bakar, petak hijau untuk minuman, merah adalah makanan dan terbaharu petak oren untuk rider, kita sediakan ruang parkir motor," katanya.