KUANTAN: Satu laporan mengenai Tasik Chini telah dihantar oleh Kerajaan Pahang kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selepas tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria sebagai rizab biosfera.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, penghantaran laporan itu dibuat bagi mengekalkan status Tasik Chini.

“Kita telah menghantar kesemua laporan yang diperlukan UNESCO dan perkara ini sebenarnya turut melibatkan kerjasama dari Kerajaan Pusat.

“Laporan sudah kita beri. Jadi apa-apa pun kita akan tunggu keputusan dari pihak UNESCO sahaja,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pahang berhubung permintaan UNESCO yang pihak berkuasa Malaysia mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini menjelang 30 September tahun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188 di sini pada Rabu.

Mohd Sharkar menambah, Kerajaan Pahang bersedia melakukan penambaikan di Tasik Chini bagi memenuhi kriteria yang diperlukan untuk mengekalkan status terbabit.

“Apa sahaja untuk penambahbaikan di Tasik Chini, kita akan lakukan,” katanya.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan UNESCO diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.

Status rizab biosfera Unesco Tasik Chini mendapat perhatian selepas sebuah portal media temptan pada Ahad lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

BACA: Tapak rizab biosfera: Pahang laksana pelbagai inisiatif, pastikan status Tasik Chini tidak ditarik balik

BACA: Status Tasik Chini masih boleh dipertahankan

Menurut tinjauan berkala pertama UNESCO mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Unesco MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun.