KPDN kenakan 445 tindakan sepanjang SHMMP Deepavali 2025

Azman berkata tindakan itu hasil 4,560 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara melibatkan peringkat borong, pengeluar dan runcit. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Sebanyak 445 tindakan undang-undang diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 yang berlangsung dari 16 hingga 22 Okt lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam menerusi kenyataan hari ini berkata tindakan itu hasil 4,560 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara melibatkan peringkat borong, pengeluar dan runcit.
Daripada jumlah itu, sebanyak 433 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu, enam kes tiada tanda harga dan enam kes menjual melebihi harga maksimum. Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM16,078.40, manakala kompaun dikenakan sebanyak RM53,500.
Azman berkata pelaksanaan skim itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengawal harga barangan keperluan asas serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah terutama ketika musim perayaan.
"Secara keseluruhannya, para peniaga memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi perundangan harga maksimum yang dikuatkuasakan," katanya.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 berjalan lancar, dengan tahap pematuhan peniaga yang memuaskan.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan para peniaga atas komitmen serta kerjasama mereka dalam menjayakan pelaksanaan skim berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


