KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid mempunyai kuasa mutlak ke atas akaun syarikat itu dan didakwa menyebabkan kira-kira AS$120 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PSI dipindahkan ke akaun eskrow.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed dalam hujahannya berkata Tarek sepanjang masa berkaitan merupakan orang yang mempunyai kawalan mutlak ke atas akaun PetroSaudi termasuk pemindahan dana, kerana beliau adalah penandatangan yang sah untuk akaun-akaun tersebut.

"Nama Tarek bukan sahaja disenaraikan sebagai pengarah dan penandatangan yang sah untuk syarikat-syarikat itu, tetapi nama beliau juga terdapat dalam identiti pemilik benefisial akaun tersebut.

"Penegasan oleh seorang daripada pegawai penyiasat kes dalam afidavitnya juga menyatakan bahawa, Tarek telah dan terus mempunyai kawalan tetap terhadap semua entiti di bawah kumpulan syarikat PetroSaudi," katanya.

Pada 16 Julai 2020 mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk perintah interim bagi menyekat Tarek, PSI dan PSOS-VZ daripada memindahkan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan disimpan dalam akaun eskrow di sebuah firma guaman di UK, ke entiti lain.

Selain AS$340 juta, kerajaan juga memohon wang yang tidak ditentukan yang disimpan di bawah nama akaun perantaraan Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Pendengaran di hadapan Hakim Ahmad Shahrir bersambung Khamis ini.

-- BERNAMA