IPOH: Keputusan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Perak akan diputuskan selewat-lewatnya minggu depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata pihaknya menangguhkan dahulu keputusan itu bagi membolehkan pihaknya menghalusi beberapa perkara sebelum kadar baharu dimuktamadkan.

"Memang ada kertas masuk hari ini (Majlis Mesyuarat Kerajaan), namun ada beberapa perkara yang perlu kita perhalus terlebih dahulu.

"Tarif air masih kekal macam biasa kerana buat masa ini kita belum ada keputusan muktamad, insya-Allah minggu depan jika tiada apa-apa halangan kita umum keputusan muktamad," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima pemakaian pangkat pada majlis Penganugerahan Pangkat (Kehormat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Turut hadir dan menerima pemakaian pangkat ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Zaki Mahyudin.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Januari lepas membenarkan tarif air domestik akan dinaikkan purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenanjung dan Labuan, berkuat kuasa Februari lepas di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM).

Pelarasan tarif air itu berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras kenaikan tarif.

Semakan melalui laman rasmi LAP mendapati tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak ketika ini ialah 30 sen bagi penggunaan sifar hingga 10 meter padu (m3); 70 sen (11 - 20 m3) dan RM1.03 (lebih 20 m3).

Sementara itu, Saarani ketika diminta mengulas mengenai cadangan pemakaian baju sukan untuk murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini ekoran cuaca panas, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berhubung keperluan itu.

"Perkara ini saya akan bincang dengan pengarah, tetapi apa jua keputusan yang diputuskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kita ikut sahaja," katanya.

Semua institusi di bawah KPM telah diminta memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota pelaksana memakai pakaian sukan sopan ketika cuaca panas.

-- BERNAMA