MALAYSIA
Tarif Trump: Malaysia masih dalam trajektori unjuran pengembangan ekonomi 4-5 peratus

Tengku Zafrul berkata, Malaysia masih dalam trajektori untuk mencapai unjuran pengembangan ekonomi untuk tahun ini, iaitu di antara empat hingga lima peratus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan impak ‘front-loading’ sejak lima bulan lepas, akan berterusan terhadap ekonomi Malaysia sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang, biarpun selepas tarikh penetapan tarif Amerika Syarikat pada 1 Ogos ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun Malaysia masih dalam trajektori untuk mencapai unjuran pengembangan ekonomi untuk tahun ini, iaitu di antara empat hingga lima peratus.
Katanya lagi, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut, dan ia akan dapat dilihat berdasarkan nilai perdagangan bagi bulan Jun, yang akan diterbitkan pada Jumaat depan.
“Untuk tahun ini, jangkaan masih kekal sebagaimana diketahui, unjuran bagi 2025 oleh Bank Negara dari segi perdagangan dijangka sekitar lima peratus.“Manakala Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan sekitar 3.9 peratus. Jadi, kita terus memberikan fokus untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Kad Laporan MITI bagi Suku Kedua 2025, di Menara MITI, pada Selasa.
Terma ‘front-loading’ dalam konteks kewangan atau perdagangan, melibatkan perbelanjaan, pelaburan, atau pelaksanaan dasar yang dilaksanakan lebih awal berbanding jadual asal, dengan tujuan untuk memberikan kesan segera atau memanfaatkan momentum pasaran.
Strategi tersebut sering digunakan untuk menstabilkan pertumbuhan atau memenuhi unjuran tahunan secara proaktif.
Ditanya mengenai hasil perbincangan dengan Wakil Perdagangan AS, James Sinclair, Tengku Zafrul berkata kerajaan konsisten untuk memastikan rundingan tidak menjejaskan kepentingan negara.
“Apa yang sedang berlaku ialah kami sedang meneliti pelbagai perkara berhubung tarif dan bukan tarif yang boleh kami persetujui. Saya telah menetapkan tarikh akhir untuk pasukan, dan sudah tentu pihak AS juga mempunyai tarikh akhir sendiri, iaitu 1 Ogos.
“Kami cuba selesaikan lebih awal daripada itu jika boleh. Namun begitu, terdapat isu-isu yang masih memerlukan masa kerana ia melibatkan banyak agensi dan kementerian. Maka, kami juga sedang melakukan pengiraan yang sewajarnya,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami