Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk menarik semula lesen perniagaan warga tempatan yang disewakan kepada warga asing.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, ia sekali gus dapat mengurangkan sebarang risiko atau kemungkinan berlakunya perkara negatif terutama pergaduhan di antara rakyat negara dan warga asing.

"Saya akan mengadakan perjumpaan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen dalam mengambil tindakan segera ke atas pekerja-pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.

"Saya juga akan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen serta wakil peniaga sendiri.

"Selain itu, saya akan menggesa pihak berkenaan agar menarik balik lesen-lesen perniagaan warga tempatan jika disewakan kepada warga asing," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Sentul ACP R. Munusamy berkata, pihaknya menahan 75 orang berikutan insiden serangan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini.

Pada 13 Januari lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan kerana melepaskan tembakan di pasar berkenaan sehingga mencederakan seorang pengunjung berumur 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Suspek ditahan di Batu Caves pada hari berikutnya.

Dalam kejadian berasingan, lima lelaki yang menaiki dua buah kereta telah melepaskan tembakan secara rambang sebelum melarikan diri.

Suspek turut memukul dua warga Myanmar yang merupakan pekerja di pasar borong berkenaan.

Dalam pada itu, Saravanan juga mahu isu itu tidak dipolitikkan selain disebarkan dengan penambahan maklumat yang tidak disahkan.

"Saya sudah mengadakan sesi taklimat bertujuan untuk meninjau khabar angin yang telah diviralkan di laman sosial melibatkan pergaduhan belia India dan warga Myanmar berkenaan.

"Dalam isu ini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis yang mengambil tindakan dengan tegas dan pantas dalam menangani pergaduhan tersebut serta bantuan kepada keluarga mangsa," ujarnya.

Katanya, turut hadir pada sesi taklimat dan penjelasan berkenaan adalah Munusamy, Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja, Ibrahim Yusof; Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek DBKL), Datuk Syed Afendy Syed Abid Ali dan wakil Persatuan Peniaga Selayang sendiri.