KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan tarikh akhir bagi mengemukakan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan secara manual ialah pada 30 April depan manakala menerusi e-Filing pada 15 Mei.

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN turut menyarankan pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar borang dan kenaikan lewat bayar cukai.

"Pembayar cukai juga dinasihatkan untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai (jika ada)," menurut kenyataan tersebut.

Program Pemfailan Borang Nyata Cukai bagi 2022 boleh dicapai dan dimuat turun menerusi pautan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf bagi Bahasa Melayu dan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_2.pdf (Bahasa Inggeris).

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada LHDN sama ada menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat ataupun melayari portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Sehingga 31 Mac 2022, jumlah keseluruhan penerimaan Borang Nyata Cukai TT 2021 secara e-Filing dan manual bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan ialah sebanyak 1,163,444.

-- BERNAMA