NATIONAL
Tarikh akhir kemuka e-Borang tahun taksiran 2024 esok - LHDN

LHDN mengingatkan bahawa tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2024 bagi individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan adalah esok, 15 Mei 2025. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Tarikh akhir untuk mengemukakan e-Borang Tahun Taksiran 2024 (TT 2024) bagi individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan adalah esok, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ringkasan AI
- LHDN mengingatkan bahawa tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2024 bagi individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan adalah esok, 15 Mei 2025.
- Pengemukaan boleh dibuat melalui portal MyTax, dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara, serta kenaikan cukai 10% jika lewat bayar.
- Pembayar cukai dinasihatkan melaporkan pendapatan dengan tepat dan mengemas kini maklumat diri serta perbankan untuk memastikan kelancaran proses bayaran balik cukai.
LHDN memaklumkan pengemukaan borang nyata (BN) melalui e-Filing boleh dibuat menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.
Pembayar cukai diingatkan untuk tidak bertangguh dan bertanggungjawab melaporkan pendapatan diterima dengan tepat melalui e-Borang serta membuat bayaran cukai dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penalti lewat mengemukakan borang cukai pendapatan, kenaikan cukai dan tindakan undang-undang.
Pembayar cukai juga dinasihatkan mengisi maklumat diri dan perbankan yang lengkap serta terkini bagi memastikan kelancaran proses bayaran balik cukai.
LHDN berkata kegagalan mengemukakan BN dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP).
Menurut Seksyen 112(1) ACP, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan tidak memaklumkan layak dikenakan cukai boleh menyebabkan denda RM200 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Manakala pembayar cukai selepas tempoh dibenarkan akan dikenakan kenaikan cukai 10 peratus daripada cukai kena bayar mengikut Seksyen 103(3) ACP.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami