Isu tarikh peralihan kuasa perlu dibincang dalam forum atau mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam suasana baik, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Presiden PKR itu, isu berkenaan tidak perlu dihangatkan selain perlu diserahkan kepada kepimpinan PH.

"Ada pandangan begitu seperti kita setujui harus dibincang antara saya dan Perdana Menteri... dan juga sebaiknya dalam forum Majlis Presiden, satu tarikh kepastian.

"Tetapi ia wajar diucapkan dalam suasana yang baik dan tidak perlu dihangatkan isu ini, kebimbangan yang disuarakan ada dianggap percubaan luar hendak menggugat tetapi saya tidak fikir ia isu yang pokok dalam negara kita sekarang.

"Itu terserah kepada kepimpinan PH, saya tidak fikir ini jadi masalah sangat," katanya semasa seidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Murid Cemerlang UPSR 2016-2019 Sekolah-sekolah Tamil Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian sebagai mengulas cadangan pemimpin PKR yang dengan tegas meminta kepimpinan tertinggi PH menetapkan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir meminta mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang membincangkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei ini.

Kata Akmal Nasrullah, proses peralihan kuasa jawatan nombor satu negara dalam tempoh dua tahun selepas PH menjadi kerajaan perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda gabungan itu.

Dr Mahathir pada Disember lalu pula menegaskan, peralihan kuasa hanya akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 selesai dianjurkan di Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.

Dalam perjanjian bersama pemimpin gabungan PH pada Januari 2018, kepemimpinan gabungan itu bersetuju untuk melantik Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan Anwar.

Namun, perjanjian itu tidak menetapkan sebarang tarikh tertentu untuk Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

BACA: Tun M ulangi janji lepaskan jawatan Perdana Menteri selepas masalah negara diselesaikan