IPOH: Tasik Cermin yang diiktiraf sebagai kawasan geotapak di Gunung Rapat, di sini sedang dibangunkan sebagai Taman Eko Kuari pertama di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia bakal menjadi produk pelancongan terbaharu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Perak khususnya dan Malaysia amnya.

"Tasik Cermin merupakan kawasan kuari lama dan tidak lagi beroperasi, ia mempunyai dua tasik dan dua terowong yang unik.

"Sehubungan dengan itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melantik Syarikat Tasik Cermin Tourism Sdn Bhd untuk membangunkan Tasik Cermin Eco Park Ipoh seluas 65 ekar (26 hektar) yang terletak di Gunung Rapat.

"Hari ini merupakan hari ke-42 pembangunan Tasik Cermin Eco Park Ipoh  berkonsepkan rendah karbon yang menggunakan bahan mesra alam kerana Tasik Cermin Eco Park merupakan salah satu daripada 19 geotapak yang terletak di dalam Geopark Lembah Kinta,"katanya.

Antara pakej eko pelancongan sedia ada adalah 'limestone hiking', 'limestone cave explore' dan 'boat ride tunnel'. - Astro AWANI

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah Pembangunan Pelancongan Tasik Cermin Eco Park Ipoh, Siti Norlizawati Narawi.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata pihaknya akan memastikan pembangunan itu tidak akan menjejaskan keselamatan dan memberi kesan kepada alam sekitar.

Katanya lagi, pelaksanaan pembangunan produk pelancongan terbaharu di kawasan itu akan mengikut peraturan ditetapkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

"Salah satu aspek produk pelancongan mestilah pastikan aspek keselamatan. Ini ialah kawasan kuari jadi ada kawasan yang telah dikenalpasti tidak boleh diteroka.

"Dengan adanya kerjasama awam dan swasta dalam membangunkan kawasan geotapak seperti ini, sekali gus membantu kerajaan negeri untuk memelihara Geopark Lembah Kinta," katanya lagi.

Sementara itu, Siti Norlizawati berkata pihaknya bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan termasuk melatih Orang Asli.

"Setakat ini kita ada empat orang pekerja Orang Asli memandangkan alam semulajadi berkait rapat dengan mereka.

"Kemudahan yang akan disediakan di sini nanti seperti surau, tandas awam, kawasan pejalan kaki dan OKU, kiosk makanan dan minuman serta galeri Tasik Cermin," katanya.

Ujarnya lagi, terdapat pakej eko pelancongan sedia ada di sini iaitu 'limestone hiking', 'limestone cave explore' dan 'boat ride tunnel'.