KUANTAN: Pihak berkuasa negeri Pahang (PBN) telah mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada syarikat perlombongan di Tasik Chini, Pekan lebih awal daripada tempoh lesen pajakan, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata tindakan itu dibuat supaya kerja-kerja memulihkan semula Tasik Chini dapat dilakukan secepat mungkin, memandangkan lesen kepada pemegang pajakan aktiviti itu sepatutnya tamat pada bulan ini.

"Saya baru meninjau perkembangan usaha pemulihan dan alhamdulillah semuanya berjalan mengikut jadual dalam aspek penanaman semula dan pembinaan benteng di situ yang sudah berada pada tahap 75 peratus.

"Malah, penglibatan masyarakat Orang Asli di sana dalam usaha ini juga sangat baik dengan mengusahakan tapak semaian pokok hutan yang akan ditanam di situ," katanya kepada pemberita pada Majlis Peletakan Batu Asas Foodlawn.Kome@Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata beliau akan terus memantau kerja pemuliharaan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia itu yang dijalankan pelbagai jabatan dan agensi seperti Jabatan Perhutanan Pahang, Jabatan Alam Sekitar dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum ini, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mengesahkan bahawa tiada lesen perlombongan baharu dikeluarkan selepas kawasan seluas 4,600 hektar di tasik itu diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini pada 13 Mac 2019.

Bagaimanapun, sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan sebelum pewartaan itu dibuat dan daripada jumlah itu, hanya dua yang masih beroperasi dengan satu daripadanya tamat pada Jun lepas manakala lesen sebuah lagi pemegang pajakan dijadualkan tamat hujung tahun ini.

Pada perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata penubuhan pasukan elit dalam Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang membantu mengurangkan aktiviti pencerobohan tanah dan perlombongan haram yang banyak merugikan kerajaan negeri sebelum ini.

Mengulas mengenai Foodlawn.Kome@Tanjung Lumpur, Wan Rosdy berkata, ia berkonsepkan perniagaan berpusat yang bertujuan membimbing dan melahirkan usahawan muda.

Kuantan menjadi lokasi projek rintis dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta sebelum ia dikembangkan ke daerah Maran, Lipis, Temerloh dan Rompin bagi memberi peluang kepada mereka yang mahu mencipta peluang perniagaan sendiri menerusi perniagaan.

-- BERNAMA