Taska di Sendayan diarah tutup serta-merta, tidak berdaftar dengan JKM

Muhammad Yusry menasihati ibu bapa supaya sentiasa memilih taska yang berdaftar bagi memastikan anak masing-masing diasuh serta dijaga mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
SEREMBAN: Sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) yang beroperasi di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan diarahkan ditutup serta-merta, susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun yang diasuh di taska berkenaan baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Taman asuhan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan ditutup susulan kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun yang diasuh di sana.
- Premis taska beroperasi tanpa kelulusan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984; dilaporkan terdapat enam hingga tujuh kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh.
- Siasatan mendapati kanak-kanak meninggal dunia selepas dibawa ke klinik swasta dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Walaupun beroperasi di rumah, jika mengambil empat kanak-kanak atau lebih, taska itu perlu didaftarkan dengan JKM yang akan melakukan pemeriksaan terperinci sebelum memberikan kelulusan.
"Dalam kes ini, rumah tersebut dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun dan berdasarkan laporan awal, terdapat enam hingga tujuh kanak-kanak berada di bawah jagaan pengasuh terbabit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim sebelum ini dilaporkan berkata seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Sri Sendayan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Isnin lepas.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dijaga oleh pengasuh berumur 32 tahun dikatakan berada dalam keadaan lemah.
Azahar berkata bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu mendapati terdapat kecederaan pada bahagian abdomen dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, Muhammad Yusry menasihati ibu bapa supaya sentiasa memilih taska yang berdaftar bagi memastikan anak masing-masing diasuh serta dijaga mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Beliau turut menegaskan bahawa JKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


