KUALA LUMPUR: Empat lelaki dan empat wanita masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah menawarkan pelaburan tidak wujud, tahun lepas.

Mereka terdiri daripada R.Tharumaraj Pillai, 34, R.Vassanthakumar, 25, J.Subash Kavinder, 26, Muhammad Hafizuddin Muhammad Rafi Keettikandy, 24, Hema Tharshini, 27, C.Kasturi, 21, S.Dhaarshini, 25, dan B.Eswari, 47.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan pelaburan BMS Providers Resources yang tidak wujud, di sebuah kawasan perumahan di Wangsa Maju di sini pada 28 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dihukum penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Nom Phot Prackdit memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh.

Peguam R.Kirthiraj yang mewakili lapan tertuduh itu pula memohon denda minimum kerana anak guamnya yang berpendapatan sekitar RM1,200 hingga RM1,800 mempunyai tanggungan keluarga, selain ia merupakan kesalahan pertama mereka.

Sementara itu Subash Kavinder, Dhaarshini dan Kasturi masing-masing didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret S.Mageswary, bagi kesalahan menawarkan pelaburan tidak wujud di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Cheras, di sini pada 14 Sept tahun lepas, mengikut seksyen serupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan manakala tiga tertuduh itu diwakili peguam sama.

-- BERNAMA