AYER KEROH: Keghairahan seorang wanita warga China meraih keuntungan dengan menjalankan operasi klinik pergigian haram membawa padah apabila didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Keputusan itu diputuskan Hakim Nariman Badruddin selepas tertuduh Jiang Jun Yin, 33, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyediakan sebuah klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan dibawah Seksyen 27, Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Laksamana Cheng Ho, Melaka Tengah kira-kira pukul 3.25 petang, 6 Disember 2018 lalu.

Justeru, wanita tersebut didakwa mengikut seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang sudah berkahwin dengan lelaki tempatan itu didapati tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia selain tidak berkelayakan menjalankan sebarang aktiviti pergigian.

Wanita itu dikatakan sempat menjalankan perniagaan selama dua bulan khusus kepada rawatan pemutihan gigi sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Nozaizeli Abu Samah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Hujahnya, ini kerana aktiviti pemutihan gigi yang tidak dilakukan dibawah seliaan individu berkelayakan, boleh menyebabkan kemudaratan dari segi kawalan jangkitan kuman dan sebagainya.

Nariman pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman denda RM25,000 serta empat bulan penjara sekiranya wanita itu gagal melunaskan denda berkenaan.

Tertuduh diwakili peguam Jagdeep Kaur.