Tindakan sesetengah pihak yang sentiasa memainkan isu dengan menggelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan pintu belakang atau 'tebuk atap' disifatkan sebagai istilah yang diluahkan oleh individu yang kecewa terutama yang memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, perubahan pentadbiran yang berlaku di peringkat negeri dan Pusat adalah disebabkan peralihan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sekali gus membawa kepada penubuhan PN.

"Tebuk atap pintu belakang apa lagi semua term term (terma-terma) orang kecewa... untuk mengubat kekecewaan kerana dia (kerajaan PH) jatuh bukan orang buat, dia buat sendiri ... hang (kamu) rebah itu hang buat ambik kalau orang kampung saya (akan disebut) padan muka hang lah tapi dalam politik tak boleh la cakap macam itu.

"Kita (PN) bukan rampas kuasa, perubahan ini berlaku kerana berlaku peralihan sokongan, peralihan sokongan ini dibenarkan dalam sistem demokrasi dan yang berlaih sokongan itu komponen PH, bukan Pas bukan Muafakat Nasional. Kita tunggu saja, yang hilang sokongan itu PH, jadi kalau nak kata tebuk atap pintu belakang 'rumah' siapa kita tak tau.," tegas Sanusi dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, kerajaan negeri di bawah kepimpinannya bersedia untuk mewujudkan satu gabungan rasmi yang dianggotai beberapa parti yang membentuk PN Kedah dalam mendepani Pilihanraya Umum ke 15 (PRU-15) yang dijangka berlaku selewat-lewatnya pada 2023 selepas dimeterai di peringkat Pusat.

Sanusi dalam masa sama, turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan kerjaaan negeri untuk mentadbir Kedah sehingga selesai penggal ini selain mempertahankan kedudukan sama selepas PRU akan datang..

Pada 17 Mei lalu, enam pemimpin utama dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong penubuhan PN melalui kerjasama gabungan parti politik.

Melalui kenyataan sama, satu Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah dirangka bertujuan memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.