SEREMBAN: Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan dengan menggunakan lambang parti adalah tepat dan perlu dipatuhi semua pihak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata ini kerana sumbangan bantuan tersebut adalah daripada peruntukan kerajaan.

"Kalau peruntukan kerajaan hanya ada satu lambang iaitu Jata Negara. Sejak dahulu pun apabila saya datang, (penyerahan) replika cek hanya fokus Jata Negara sebab ini peruntukan kerajaan, memang teguran Perdana Menteri (PM) itu tepat. Apabila PM tegur, ia adalah untuk semua, semua parti, semua menteri," katanya..

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM324,668 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Sheikh Ahmad, di sini, hari ini.

Semalam, Anwar ketika di Johor Bahru menegaskan sebarang bentuk penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan atas nama dan lambang parti politik sebaliknya atas nama kerajaan.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata penyerahan peruntukan PMR itu adalah bagi menampung dana pembinaan sebuah dewan terbuka berbumbung untuk kegunaan warga sekolah dan menegaskan hal berkaitan sekolah sentiasa menjadi keutamaannya.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Loke, yakin Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.

"Kedua-dua kerusi ini merupakan kerusi campuran, (dan) sudah tentu PH ada kelebihan tambahan pula kita mendapat sokongan daripada UMNO Johor selain Johor merupakan kubu UMNO selama ini

"Saya yakin (dengan) bantuan daripada UMNO ini, bukan sahaja dapat untuk kita mempertahankan sokongan malah mendapat sokongan daripada pengundi UMNO dan BN," katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas, masing-masing menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh undi awal pada 5 Sept, manakala hari pengundian pada 9 Sept.

Mengenai PRK DUN Pelangai, Pahang, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas, Loke berkata PH tidak akan meletakkan calon memandangkan kerusi berkenaan dimenangi BN pada Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

SPR menetapkan hari pengundian bagi kerusi DUN Pelangai pada 7 Okt ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 23 Sept dan 3 Okt ini.

-- BERNAMA