Tekad antirasuah: "Semoga negara tidak lagi dikenali dengan kebobrokan, kepincangan" - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar dan isteri, Wan Azizah hadir pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI Bersama Diaspora Malaysia sempena lawatan rasmi ke Turkiye pada Selasa. - Gambar Bernama
ANKARA: Keutamaan Kerajaan MADANI dalam mengukuhkan tatakelola yang baik, serta ketegasan dalam memerangi rasuah, bukanlah sekadar retorik, tetapi demi menghasilkan hasil fiskal yang lebih baik untuk rakyat dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kebebasan yang diberikan kepada badan penguatkuasa untuk memerangi penyeludupan dan ketirisan, kartel, serta kongsi gelap, membolehkan kerajaan menyelamatkan RM15.5 bilion bagi tempoh antara 2023 hingga 2025.
Pembetulan tatakelola, jelas beliau lagi, membuka ruang tumpuan yang lebih jelas kepada pembangunan rakyat, biarpun mengakui cabaran politik-ekonomi yang datang daripada golongan berpengaruh.
"Saya tak nyatakan ini mudah… tindakan ini tentunya mengundang bantahan kuat dari golongan yang sangat berpengaruh dan kaya.
“Tetapi kalau kita tuntas dan tegas, mudah-mudahan negara ini tidak lagi dikenali dengan kepincangan dan kebobrokan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa seperti yang dikaitkan dengan banyak negara lain,” tegas beliau lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia, di sini, malam tadi, sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Turkiye bermula 6 hingga 8 Januari ini.
Sekitar 200 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan pelajar yang menetap di Ankara menghadiri majlis berkenaan.
Dalam kunjungan ini, Perdana Menteri diiringi isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengajian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Dalam pada itu Anwar turut mengingatkan bahawa isu rasuah kini tidak lagi terhad kepada ahli politik seperti dahulu, tetapi melibatkan penjawat awam dan anggota keselamatan seperti tentera dan polis.
Namun beliau menzahirkan kesyukuran kerana tekad untuk memerangi rasuah mendapat dukungan yang kuat dari seluruh anggota Jemaah Menteri serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Saya bersyukur kerana kesepakatan itu memberikan kita ruang untuk mengangkat martabat dan keyakinan. Tapi ini belum berakhir, masih kita beri laluan kepada badan penguatkuasaan bertindak.
“Kerana laluan itu diberi oleh kerajaan dan didokong Jemaah Menteri, mereka (badan penguatkuasa) lebih tegas dan berani memerangi kartel, kongsi gelap yang besar, dan kegiatan penyeludupan banyak yang cuba dihalang dan hasil negara diselamatkan,” kata Perdana Menteri lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


