KANGAR: Mengambil contoh kejayaan beberapa negara maju dunia dalam menguruskan wabak COVID-19, Malaysia juga tidak terkecuali turut menggunakan bantuan alat teknologi moden canggih, sekali gus memudahkan petugas kesihatan mengendalikan pesakit COVID-19.

Teknologi ultrabunyi adalah satu daripada inovasi dalam bidang perubatan yang digunakan bagi memudahkan petugas barisan hadapan dalam membuat diagnosis awal khususnya pesakit di wad kecemasan.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman Maju dan Akut Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Prof Datuk Seri Dr Paras Doshi berkata alat ultrabunyi poket dapat memudahkan doktor melakukan diagnosis terhadap pesakit di katil wad, tanpa perlu memindahkan pesakit ke bilik rawatan khas seperti bilik pemeriksaan imbasan CT bagi mengesan komplikasi pada organ dalaman pesakit seperti paru-paru, ginjal dan hati.

"Cara ini juga dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada petugas dan pesakit lain apabila diagnosis boleh dilakukan di katil pesakit sahaja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di HTF Kangar.

Dr Paras yang juga Presiden Perubatan Dalaman Akut Tahap Lanjut (MAAIMUSS) berkata dengan adanya teknologi ini (ultrabunyi poket) doktor tidak perlu menggunakan mesin besar dan boleh membawanya ke mana-mana sahaja.

"Alat ini boleh disambung kepada alat peranti mudah alih seperti telefon pintar atau tablet dan boleh dibawa ke mana-mana.

Dr Paras berkata hospital dapat menjimatkan kadar penggunaan katil kerana diagnosis dapat dilakukan dalam jangka masa singkat tanpa perlu dimasukkan ke wad.

"Hanya pesakit yang memerlukan rawatan khusus seperti pesakit COVID-19 sahaja yang akan dimasukkan ke dalam wad," katanya.

Beliau berkata HTF menjadi antara perantis yang memajukan teknologi ini dan kemasukan pesakit ke wad perubatan dari wad kecemasan HTF telah dapat dikurangkan sebanyak 62 peratus berbanding sebelum ini.

"Ia bukan hanya dapat mengurangkan kesesakan di wad tapi turut mengurangkan kos dan masa rawatan dan dengan cara ini semua sumber difokuskan kepada rawatan pesakit COVID-19," katanya.

Selain HTF, beberapa hospital lain juga telah menerima alat tersebut dan ia diharap dapat membantu usaha kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini.

Dr Paras berkata alat ultrabunyi poket juga dapat meningkat keupayaan hospital dalam merawat pesakit COVID-19.

"Sebagai contoh sekiranya berlaku kes COVID di hospital pedalaman seperti di Lahad Datu, Sabah, pegawai perubatan di sana dapat membuat diagnosis awal tanpa perlu membawa pesakit ke hospital besar dan hasil diagnosis terhadap pesakit dapat dikongsi bersama doktor pakar, bagi tujuan rancangan rawatan pesakit," katanya.

Dalam mengembangkan teknologi ultrabunyi MAAIMUSS telah diberi kepercayaan untuk mengadakan kursus secara Webinar bagi melatih doktor-doktor cara penggunaan alat tersebut dengan betul.

Beliau berkata usaha tersebut juga mendapat sokongan penuh daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penaung Diraja MAAIMUSS.

-- BERNAMA