KUANTAN: Seorang tekong bot warga Thailand dilaporkan hilang manakala dua kru selamat, selepas bot nelayan tempatan dinaiki mereka karam di kedudukan 26.8 batu nautika perairan Kuala Pahang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata kejadian didakwa berlaku pukul 2 pagi Khamis lepas, bagaimanapun pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada petang semalam.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Mat Riffin Awang Kecik, 66, manakala dua yang terselamat ialah Sabudin Panoh, 51, dan Mohd Hafizi Awang Kecik, 30, kedua-duanya juga warga Thailand.

"Berdasarkan keterangan saksi yang selamat, bot itu terbalik selepas dipukul ombak, namun mereka sempat berpaut pada tong minyak sebelum diselamatkan bot nelayan pada pukul 9 pagi hari yang sama, kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian.

"Mangsa yang hilang dilaporkan berada di anjungan bot semasa kejadian menyebabkan dua kru terlibat tidak pasti sama ada mangsa sempat terjun ke laut atau tidak sebelum bot karam sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.



APMM-KARAM 2 (AKHIR) KUANTAN



Kamal Ariffin berkata kesemua mangsa difahamkan tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bermula 3.10 petang semalam, selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

Operasi hari ini yang dibantu bot nelayan tempatan, diteruskan dengan melibatkan keluasan sektor pencarian kira-kira 22.95 batu nautika persegi dengan pemantauan di sekitar lokasi bot karam.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

-- BERNAMA