Tekonologi AI bantu KKM kesan 22 kes kanser paru-paru sejak Julai - Dzulkefly

Dr Dzulkefly selepas merasmikan Program Ramah Mesra Santuni MADANI di Pantai Jeram hari ini. - Gambar Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
KUALA SELANGOR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam saringan kesihatan paru-paru kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) membuahkan hasil apabila 22 kes kanser paru-paru berjaya dikesan dalam tempoh dua bulan sejak program itu dilaksanakan Julai lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata saringan itu dilaksanakan di tujuh klinik kesihatan (KK) di seluruh negara dengan objektif mengenal pasti penyakit pada peringkat awal, khususnya dalam kalangan perokok dan pekerja industri yang berisiko.
"Sebanyak 3,482 pemeriksaan X-ray telah dibuat membabitkan responden berisiko berusia 18 tahun dan ke atas. Ia menghasilkan 3,778 penemuan berisiko termasuk 229 kes ketumbuhan pada paru-paru.
"Daripada jumlah itu, 22 kes disahkan sebagai kanser paru-paru. Penggunaan AI membolehkan pengesanan dilakukan dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus meningkatkan peluang rawatan awal terhadap pesakit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ramah Mesra Santuni MADANI di Pantai Jeram di sini hari ini.
Beliau berkata teknologi AI memainkan peranan penting dalam menambah baik keupayaan diagnostik kesihatan awam apabila dapat mengesan tanda awal penyakit dengan lebih efisien berbanding kaedah konvensional.
Pada masa sama, Dzulkefly memaklumkan KKM juga kini menggunakan teknologi molekul pantas yang mampu mengeluarkan keputusan ujian dalam tempoh kurang dua jam berbanding 48 jam sebelum ini.
"Pendekatan berasaskan teknologi ini membolehkan kita melaksanakan saringan secara lebih bersasar, terutamanya kepada kumpulan rentan seperti perokok tegar," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan komited memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi mengekang penjualan dan penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik.
Isu kesihatan paru-paru, katanya kini diangkat ke peringkat antarabangsa selepas beliau membentangkan agenda Paru-Paru Sedunia pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Geneva, Switzerland beberapa bulan lepas.
"Inisiatif ini turut mendapat sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memperkukuh kesesaran global terhadap penjagaan paru-paru," katanya.
Terdahulu, tujuh KK yang terlibat dalam pelaksanaan program saringan kesihatan paru-paru ialah KK Seberang Perai, KK Kok Lanas, KK Beserah, KK Luyang, KK Kajang, KK Batu 9 dan KK Pendang dengan setiap satunya disokong hospital rujukan berhampiran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


