TANJUNG MALIM: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pinjaman mikro sebanyak RM8.3 bilion sejak penubuhannya sehingga Mac tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) Saraswathy Kandasami berkata pembiayaan itu memanfaatkan 752,177 usahawan melalui 170 cawangannya di seluruh negara.

"Kerajaan terus komited membantu usahawan negara mengembangkan perniagaan mereka, melalui Tekun bukan hanya pinjaman kewangan disediakan malah juga khidmat nasihat dan jaringan perniagaan," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak 2023@Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Mualim, di sini, hari ini.

Katanya, Tekun Nasional yang ditubuhkan pada 1998 menyediakan pembiayaan daripada RM1,000 sehingga RM200,000 kepada usahawan yang sedang mengembangkan perniagaan mereka.

Saraswathy berkata untuk Perak pula, Tekun menyalurkan pembiayaan mikro kepada RM546 juta termasuk Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) sebanyak RM52.8 juta telah disalurkan kepada 3,932 usahawan masyarakat India.

Selain Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), satu lagi agensi di bawah KUSKOP setakat ini telah membantu lebih 300,000 ahlinya yang terdiri daripada usahawan wanita melalui tujuh skim pinjaman serendah RM5,000 sehingga RM30,000.

Sementara itu, Sarawathy berkata selain modal, kekurangan pengalaman dan tidak nasihat yang tepat juga menjadi antara cabaran usahawan negara ini.

Justeru, KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (Insken), antaranya menyediakan program-program bimbingan dan pembangunan kapasiti keusahawanan bagi meningkatkan hasil jualan produk mereka.

Malah, katanya, bimbingan usahawan juga meliputi trend terkini perniagaan seperti pendigitalan, dropship, e-dagang, bekerja bebas dan perniagaan secara dalam talian.

"Secara mudahnya, khidmat bimbingan disediakan daripada asas perniagaan hinggalah kepada khidmat bimbingan pemasaran domestik dan pasaran ke luar negara," katanya.

-- BERNAMA