DUBAI: Pihak Telegram telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi memperkemas aspek kawal selia platform berkenaan terutama dalam membanteras aktiviti scam dan judi dalam talian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkara tersebut disampaikan pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov, dalam pertemuan empat mata di sini pada Sabtu, bagi membincangkan isu berbangkit melibatkan platform media sosial itu yang mempunyai kira-kira 15 juta pengguna di Malaysia.


Fahmi berkata selain isu kawal selia platform berkenaan, perbincangan yang berlangsung dalam suasana positif itu, turut memberi fokus berkaitan teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI).

"Pavel turut menyatakan minat untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai beberapa peluang kerjasama dengan kerajaan Malaysia.

"Sehubungan itu, saya juga telah menjemput beliau untuk berkunjung sendiri ke Malaysia, bagi meneruskan perbincangan dengan beberapa pihak terlibat," katanya kepada Bernama selepas menghadiri pertemuan itu, di sini.

Dalam pada itu Fahmi berkata Pavel juga telah menyatakan komitmen beliau yang bersedia untuk melebarkan sayap operasi di Malaysia pada masa akan datang.

-- BERNAMA