KANGAR: Polis mengenal pasti satu das tembakan mengenai bawah mata kiri menyebabkan kematian isteri kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang ditemukan di dalam bilik tidur di rumah keluarga mangsa di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, tembakan itu dipercayai dilepaskan kira-kira jam 7 pagi tadi mengakibatkan mangsa mati serta-merta.

“Ketika kejadian terdapat suspek dan isteri serta bapa dan ibu mangsa di dalam rumah terbabit.

“Suspek melepaskan beberapa das tembakan namun hanya satu tembakan mengenai bawah mata kiri menyebabkan mangsa maut.

“Suspek berusia 27 tahun berpangkat Lans Koperal bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah ditahan dan akan mendapatkan reman esok (Isnin),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika kejadian terdapat suspek dan isteri serta bapa dan ibu mangsa di dalam rumah terbabit. - Foto Astro AWANI

Yusharifuddin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagaimanapun jelas Yusharifuddin polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif kejadian.