Seramai 15,000 penduduk dibawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara Pentadbiran (TEMCO) Kota Setar, Kedah telah disaring setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia melibatkan penduduk dari 10 mukim yang dikenal pasti berisiko tinggi.

"PKPD secara Pentadbiran (TEMCO) di Kota Setar telah dilaksanakan dari 11 sehingga 25 September berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga.

"(Mereka yang) disaring dari 10 mukim yang telah dikenal pasti berisiko tinggi iaitu Pumpong, Alor Merah, Alor Malai, Derga, Kuala Kedah, Pengkalan Kubor, Kota Setar, Langgar, Titi Gajah dan Mergong," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 12,885 warganegara tempatan telah disaring dengan 11,757 disahkan negatif manakala 1,128 individu masih menunggu keputusan.

Bagi TEMCO di Amanjaya pula, katanya seramai 13,591 penduduk telah disaring setakat ini.

"Mereka terdiri daripada 13,526 wargangara dan 65 bukan warganegara Malaysia.

"Sebanyak 16 kes COVID-19 di kalangan warganegara telah dikesan, termasuk 13 kes saringan kali kedua di Zon Melur.

"Susulan itu, TEMCO di Zon Melur telah dilanjutkan sehingga 27 September bagi membendung penularan COVID-19," jelas Ketua Pengarah Kesihatan itu.