Dataran Medan Ilmu berhadapan Ibupejabat Perhubungan Pas Kelantan di sini merupakan kawasan kuliah mingguan pimpinan Pas Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu.
Namun kawasan yang menjadi tumpuan setiap Jumaat bagi mengikuti kuliah pagi Jumaat pimpinan Pas itu sebenarnya turut diberikan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf longkang dan membina laluan pejalan kaki bagi menjamin keselesaan penyokong Pas mendengar kuliah mingguan itu.
Siang tadi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merasmikan projek menaik taraf longkang dan laluan pejalan kaki yang menelan belanja RM450,000 ringgit.
Mustapa seterusnya menandatangani plak perasmian dan memberikan nama baru dataran itu sebagai Dataran Tok Pa.
Mustapa menjelaskan, walaupun kawasan ini menjadi medan cercaan dan fitnah kepada pimpinan Kerajaan Pusat namun tanggungjawab kerajaan tidak mengira tempat dan kawasan untuk kemudahan orang ramai.
“Jadi kita nak mereka sedar ada yang cerca Kerajaan Pusat walhal mereka bercakap atas pentas dan tapak Kerajaan Pusat. Ini pentas guna fitnah secara keras terhadap Kerajaan Pusat saya harap mereka hentikan kritikan keras terhadap kita, berdosa,” katanya selepas merasmikan projek naik taraf longkang dan laluan pejalan kaki di Dataran Ilmu di sini hari ini.
Beliau menjelaskan banyak projek yang bukan tangggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti membina taman awam, pasar dan sebagainya dengan peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan, PBT dan majlis daerah di Kelantan untuk tujuan kepentingan awam.