KUALA LUMPUR: Tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak atau remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun tanpa pengiring kini dikurangkan dan ditetapkan kepada lima hari.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan, ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR perlu dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19.

“Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di pintu masuk antarabangsa. Ujian pengesanan RT-PCR dibuat pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima.

“Pelepasan kuarantin pada hari kelima (diberi) jika ujian pengesanan COVID19 RT-PCR pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif,” kata Khairy dalam sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.

Tambah beliau lagi, bagi mereka yang belum menerima dos penggalak tetapi telahpun lengkap divaksin iaitu dua dos, tempoh kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah selama tujuh hari.

“Manakala pengembara yang tiada atau belum lengkap vaksin tempoh kuarantin adalah 10 hari. Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19. Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di pintu masuk antarabangsa.

"Ujian pengesanan RT-PCR dibuat pada hari kelapan atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-10.

“Pelepasan kuarantin pada hari ke-10 (diberi) jika ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR pada hari ke-8 atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-10 adalah negatif,” jelasnya lagi.