Tempoh lelongan kapal layar mewah Equanimity yang berada di Langkawi akan berakhir pada Ogos tahun depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

Beliau berkata kerajaan telah melantik seorang agen broker daripada Monaco dan penilai harga bagi proses lelongan kapal yang didakwa merupakan milik ahli Perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Kapal yang ditahan atas waran mahkamah pada 24 Ogos lalu memerintahkan proses jualan melalui tender terbuka dan melantik seorang agen broker dari Monaco dan penilai bagi menentukan harga semasa kapal tersebut," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang bertanyakan mengenai status kapal tersebut.

Mengulangi semula jawapannya, Hanipa berkata nilai semasa harga kapal tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum selaras dengan arahan mahkamah yang dikeluarkan pada 24 Ogos lepas.

Manakala, menjawab soalan mengenai pendakwaan kapal tersebut, Hanipa berkata ia tertakluk di bawah bidang kuasa Peguam Negara.

BACA: Equanimity tiba di Langkawi untuk simpanan sementara

BACA: Belum ada pihak tampil tuntut hak milik Equanimity - Hanipa

Bagaimanapun, beliau dalam Dewan Rakyat hari ini membuat seruan menggesa ahli perniagaan yang menjadi suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kembali ke Malaysia dan mempertahankan dirinya.

Katanya ia berdasarkan pendedahan media luar negara yang mendakwa Jho Low telah membelanjakan RM4 juta yang dibayar kepada peguam untuk memulihkan semula imejnya.

"Tindakan boleh diambil kalau Jho Low balik, kalau yang nak tolong bawa balik Jho Low, boleh berhubung dengan polis. Saya difahamkan beliau membelanjakan RM4 juta untuk menaikkan dan memulihkan imejnya.

"Kalau beliau sanggup membelanjakan wang banyak itu untuk bersihkan nama, dengarlah pada hari ini, saya minta dia baliklah ke Malaysia," tambahnya.