Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh proses permit pekerjaan daripada lebih satu bulan sebelum ini kepada lima hari bekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‎berkata, ia penyelesaian pelbagai masalah dihadapi pekerja luar untuk berkhidmat di Malaysia selama ini.

"Inisiatif ini merupakan jawapan kepada keperluan ekspatriat terutama sektor keutamaan yang memacu ekonomi negara," katanya.

"Pada akhir tahun 2010, saya mengumumkan pengenalan pas kediaman. Hari ini lebih daripada 2,000 ekspatriat telah diluluskan untuk pas ini," katanya.

Najib berkata demikian ketika‎ merasmikan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) di Jabatan Imigresen di sini.

ESD bertujuan menyelaras dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan imigresen bagi bakat-bakat ekspatriat termasuk pas pekerja, lawatan sosial, lawatan profesional dan residen-bakat.

ESD yang bertindak sebagai pusat sehenti bagi ekspatriat akan menyediakan saluran tunggal bagi ekspatriat atau syarikat-syarikat untuk melaksanakan semua urusan imigresen.

Tambah Najib, model ESD akan diguna pakai di negeri bermula dengan Johor dan Pulau Pinang manakala sistem perkhidmatan itu juga akan diperluaskan ke agensi berkaitan.

"Adalah penting bahawa kerajaan dan majikan terus bekerja rapat untuk memastikan perkhidmatan kekal relevan dan responsif kepada keperluan.

"Kemahiran asing membantu merapatkan jurang kemahiran dan mewujudkan kumpulan yang pelbagai dan berpengalaman. Oleh itu, kita akan terus berusaha untuk menarik bakat asing yang terbaik untuk tinggal dan bekerja di Malaysia,'' jelasnya.

Najib turut mengakui, kemahiran luar merupakan salah satu ramuan penting untuk transformasi ekonomi negara.

Transformasi ESD telah dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan TalentCorp.

Pada majlis sama, Najib menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memastikan kelancaran dan keselamatan prosedur Imigresen.

Najib kemudian terlibat dalam sesi dialog bersama ketua-ketua dewan perniagaan asing dan ahli-ahli korporat terkemuka bagi membincangkan cara lebih baik dalam proses pemudah cara dan pengekalan bakat asing terbaik di Malaysia.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.