PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan siasatan itu memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah berkenaan yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Menurut SPRM, siasatan dijalankan susulan gesaan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) pada 18 Jun lalu supaya agensi itu menyiasat urusan pemindahan DAK.
"Pertubuhan berkenaan turut mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.
“Susulan itu, SPRM turut menyiasat dakwaan ketirisan berkenaan serta meneliti sama ada wujud sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan terbabit," katanya.
Kenyataan itu menyebut, siasatan masih di peringkat awal dan dijalankan secara menyeluruh.
SPRM meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.
SPRM turut menegaskan komitmennya untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti mencukupi untuk tindakan lanjut.
Dara, Amoi dan Kelat dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji pada Mac 2026 menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo.
Namun, ketiga-tiga gajah itu menjadi tumpuan masyarakat apabila timbul persoalan mengenai kebajikan, habitat dan kesejahteraan mereka selepas berada di Jepun.