Kekurangan pekerja berkemahiran dan kompeten dalam sektor pembinaan merupakan cabaran besar kepada Malaysia terutama dalam mencapai status negara maju, kata Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Beliau berkata berdasarkan statistik pendaftaran personel binaan Lembaga Pembangunan Pembinaan Industri Malaysia (CIDB), 93 peratus pekerja asing dalam sektor pembinaan tidak mempunyai kemahiran manakala pekerja tempatan yang berkemahiran pula hanya sekitar 16 peratus.

Berdasarkan statistik, terdapat 7 juta pekerja asing di Malaysia setakat ini, katanya.

"Senario sektor pembinaan di Malaysia semakin rancak, tetapi tenaga kerja tempatan tidak mencukupi sehingga menyebabkan industri dipenuhi tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Binaan Malaysia (ABM)(Wilayah Utara) Cawangan Perak di sini hari ini.

ABM Wilayah Utara yang ditubuhkan pada 2001 merupakan yang pertama di Perak dengan memperkenalkan beberapa program latihan termasuk Program Latihan Kemahiran Personel Binaan, Program Akreditasi Pekerja Binaan Mahir dan Kursus Kad Hijau.

Mohammad Zahir berkata kewujudan ABM itu dilihat mampu menggiatkan aktiviti perindustrian dan pembangunanan modal insan di Perak.

"Kedudukan ABM ini di Koridor Tengah Koridor Tengah meliputi daerah Kinta, Perak Tengah dan Manjung selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan perindustrian Kampung Acheh dan sekitarnya sebagai pusat perindustrian serta pusat kecemerlangan pendidikan," katanya.