KUALA LUMPUR: Tenaga nuklear kian dilihat sebagai pelengkap penting dan praktikal kepada tenaga boleh baharu (TBB) bagi memastikan bekalan asas yang stabil untuk grid elektrik terutama dalam memenuhi peningkatan permintaan pesat daripada industri berteknologi tinggi serta pusat data.
Ketua Pegawai Eksekutif MyPOWER Corporation, Asdirhyme Abd Rasib berkata, tenaga nuklear ialah pengganti yang ideal kepada loji janakuasa berasaskan arang batu dalam menyediakan bekalan tenaga yang stabil di samping menyokong usaha Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
Beliau berkata, walaupun Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyasarkan 70 peratus daripada campuran tenaga pada masa hadapan dijana daripada TBB menjelang tahun 2050, pergantungan sepenuhnya kepada sumber itu berdepan cabaran geografi yang ketara di Malaysia.
“Kita boleh menyasarkan penggunaan 100 peratus TBB namun berdasarkan kedudukan Malaysia, ia amat sukar terutama di Semenanjung Malaysia di mana kita memiliki sumber TBB yang terhad," katanya ketika sesi dialog Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26), di sini, pada Rabu.
Dialog bertajuk “ASEAN’s Net Zero Pathway: Can ASEAN Decarbonise without Nuclear Power?” itu dikendalikan oleh Penasihat Utama The eCEOs (M) Sdn Bhd, Raja Datuk Dr Abdul Aziz Raja Adnan.
Asdirhyme berkata, adalah mustahil untuk menampung keseluruhan keperluan tenaga negara dengan hanya memasang panel solar di seluruh kawasan daratan Semenanjung Malaysia dari sempadan di utara tanah air hingga ke Johor, justeru tenaga nuklear kekal sebagai pilihan yang berdaya maju bagi menyokong kestabilan sistem elektrik negara.
Beliau berkata, permintaan terhadap tenaga elektrik telah meningkat secara mendadak sejak dua tahun lepas sekali gus menjadikan sumber bekalan kuasa yang stabil dan berterusan sebagai satu keperluan.
Sebagai persediaan ke arah itu, katanya, Malaysia kini di fasa pertama iaitu meneliti aspek dasar, kerangka perundangan dan kawal selia serta pembangunan modal insan yang diperlukan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Senada dengan beliau, Huw Williams dari Bahagian Pelaburan Nuklear dan Hubungan Pemegang Taruh Kewangan di bawah Jabatan Keselamatan Tenaga & Sifar Bersih United Kingdom (UK) berkata, tenaga nuklear kekal sebagai sumber tenaga asas yang penting dalam menyokong sasaran pelepasan karbon sifar bersih bagi ekonomi British.
Beliau berkata, meskipun pembangunan ladang angin luar pesisir dijalankan secara besar-besaran, tenaga nuklear masih membekalkan sekitar 15 hingga 18 peratus tenaga elektrik harian UK sekali gus memastikan keterjaminan bekalan ketika tiada angin serta memenuhi permintaan tinggi susulan pertambahan pusat data.
Sambil menyuarakan keperluan campuran tenaga yang boleh dipercayai, Ketua Pegawai Eksekutif PT Xpert Synergy Solution Bob, Soelaiman Effendi berkata, kuasa nuklear adalah penyelesaian praktikal untuk mana-mana negara membangun yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi pesat.
Beliau berkata, simulasi di Indonesia membuktikan langkah memaksimumkan TBB semata-mata masih akan mengakibatkan defisit kuasa yang besar jika negara itu berhasrat mencapai tahap kemakmuran lebih tinggi, dan tenaga nuklear amat diperlukan untuk mencapai pelepasan sifar bersih.
-- BERNAMA