KUCHING: Projek Battery Energy Storage System (BESS) bagi memperkukuh infrastruktur tenaga dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu, kini sedang diperluas dan dilaksana di beberapa lokasi seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata buat masa ini, tender bagi projek tersebut dibuka di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia susulan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar.
“Pelaksanaan BESS penting, bagi memastikan kestabilan grid kerana solar bergantung kepada cahaya matahari.
“Kerajaan telah membuka tender untuk BESS khususnya di Semenanjung, kerana apabila lebih banyak projek solar dilaksanakan bekalan tenaga daripada solar dan tenaga boleh baharu yang tidak berasaskan base load boleh mengancam kestabilan grid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha di Surau Darul Ihsan Kampung Sinjan, di sini, hari ini.
Pada 18 Mei, Fadillah merasmikan projek BESS Santong di Dungun, Terengganu berkapasiti 100 megawatt (MW), yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 pengguna di pantai timur Semenanjung.
Sementara itu, Fadillah berkata pelaksanaan BESS turut diperluas ke Sabah melalui Sabah Electricity Sdn Bhd dan di Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad.
Beliau berkata penggunaan sistem bateri membolehkan bekalan tenaga diagihkan secara lebih stabil mengikut keperluan penggunaan semasa dan dengan menggunakan bateri, bekalan tenaga dapat disalurkan mengikut corak penggunaan.
“Ini membantu memastikan grid lebih stabil serta tidak terancam. Sebab itu, semua projek Large Scale Solar (LSS) yang ditenderkan kini turut melibatkan penggunaan bateri,” katanya.
-- BERNAMA