Tenom diisytihar kawasan bencana banjir dan tanah runtuh

Pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan agensi lapangan JPBD Tenom, antaranya lima kampung dinaiki air dan kenaikan paras air Sungai Padas. - Foto FB
TENOM: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom petang ini mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana banjir dan tanah runtuh.
Pengerusinya Alexander Liew juga Pegawai Daerah Tenom berkata pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan agensi lapangan jawatankuasa itu, antaranya lima kampung dinaiki air dan kenaikan paras air Sungai Padas.
"Penduduk diminta mengambil langkah berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kita-kira 150 kilometer arah Selatan dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memberitahu lima kampung terjejas banjir ialah Kampung Enubai, Kampung Ponontomon, Kampung Pantungon Saga, Kampung Tumantalik dan Kampung Pantongan Sapong.
"Kesemua jalan di kampung berkenaan dan Jalan Bensilon, tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya dan menambah banjir terjadi antara lain akibat hujan lebat tidak menentu sejak 1 Jan menyebabkan limpahan air sungai antaranya Sungai Padas dan menjejaskan beberapa kawasan rendah.
Jurucakap itu memaklumkan bahawa dua pusat pemindahan sementara telah dibuka di Kampung Labut Satu dan Kampung Ponontomon petang ini, manakala jumlah pecahan mangsa masih dalam proses dikemas kini.
Sehingga 1.20 tengah hari tadi, bacaan paras air Sungai Padas mencecah 176.79 meter, iaitu melebihi paras amaran 176.25 meter, dengan trend air menunjukkan peningkatan.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa hujan lebat dan arus deras sungai menyebabkan sebuah jambatan di Kampung Tilis di sini runtuh, menyebabkan Jalan Kungkular-Tilis terputus hubungan.
"Jalan alternatif yang boleh dilalui ialah sebuah jalan balak lama di Jalan SLDB. Selain itu tanah runtuh di Kampung Bakuku menyebabkan Jalan Ulu Tomani-Tinura terputus hubungan di kawasan itu dan tiada jalan alternatif dapat dilalui," katanya.
Dalam pada itu, di KOTA KINABALU, PPS Dewan Masjid Al Munir, Darau ditutup secara rasmi pada 5 petang tadi.
Pengerusi JPBD Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah juga yang juga Mayor Kota Kinabalu berkata penutupan itu, dibuat selepas pemeriksaan mengesahkan kediaman penduduk terjejas telah selamat untuk didiami semula.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


