Skip to main content

Malaysia

TERAJU perkasa kemampanan syarikat Bumiputera melalui sokongan menyeluruh

Sumber: Astro AWANI
TERAJU turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti syarikat melalui pelbagai program dan inisiatif bagi memastikan perniagaan dapat berkembang secara mampan.

KUALA LUMPUR: Pendekatan kemampanan terus menjadi fokus utama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam memastikan syarikat Bumiputera bukan sahaja memperoleh akses pembiayaan, malah mampu berkembang secara mampan dan berdaya saing dalam jangka masa panjang.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Perniagaan dan Keusahawanan TERAJU, Mohd Najib Jaafar berkata, pembiayaan modal hanyalah salah satu daripada pendekatan yang disediakan agensi itu bagi membantu syarikat Bumiputera memperkukuh operasi mereka.

Menurut beliau, TERAJU turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti syarikat melalui pelbagai program dan inisiatif bagi memastikan perniagaan dapat berkembang secara mampan.

“Dari segi pendekatan TERAJU, kata kunci utama kami adalah kemampanan. Akses kepada modal bukan satu-satunya pendekatan. Kami mahu syarikat Bumiputera mampu maju dan mengembangkan operasi mereka dalam tempoh jangka panjang melalui pembiayaan yang disediakan.

“Kami juga menyediakan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dan sokongan kepada syarikat bagi memastikan mereka dapat berkembang secara mampan melalui program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh TERAJU,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Group Berhad, Norazlam Norbi menyifatkan sokongan terbesar diterima daripada TERAJU bukan hanya melibatkan aspek kewangan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, nasihat dan bimbingan yang diberikan banyak membantu syarikat itu berkembang daripada sebuah organisasi kecil kepada syarikat yang lebih profesional dan tersusun.

“Bantuan terbesar daripada TERAJU sebenarnya bukan dari segi kewangan, tetapi nasihat kepada syarikat kami tentang bagaimana untuk menaik taraf operasi daripada peringkat permulaan menjadi syarikat yang lebih profesional dan tersusun supaya mampu bersaing bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“TERAJU juga banyak membantu melalui program digitalisasi, pengubahsuaian serta penyediaan peralatan rekaan dan mekanisasi,” katanya.

Pendekatan holistik yang digerakkan TERAJU itu dilihat mampu memperkukuh daya tahan syarikat Bumiputera selain membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang semakin kompetitif dan berteraskan teknologi.

Mereka berkata demikian dalam program PuTERA35.

 

 

Must Watch Video