KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan agar sentiasa menerapkan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu memastikan setiap orang lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan masing-masing.

"Apa yang penting, semua pihak yang terlibat di tempat kerja sama ada tapak pembinaan, jenis kerja lain, sepatutnya membudayakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Apabila ini boleh dijadikan sebagai satu budaya, jadi saya percaya semua pihak akan lebih berhati-hati dan mereka akan mematuhi kepada SOP dan memastikan peraturan-peraturan itu dapat dilaksanakan. Soal ini ada kaitan dengan sejauh mana kita dapat menerapkan satu budaya keselamatan," katanya kepada Astro AWANI melalui aplikasi Skype pada Khamis.

BACA: Runtuhan struktur besi binaan SUKE: 2 mangsa disahkan maut, 3 selamat - Polis

BACA: Runtuhan struktur besi binaan SUKE: Pemandu treler positif dadah - Polis


Mengulas lanjut, Lam Thye berkata,  kemalangan sehingga menyebabkan perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh, di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada Rabu perlu disiasat dengan mendalam bagi mengetahui punca insiden. 

"Jadi saya kira adalah baik jika perkara ini diserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan selepas hasil siasatan itu, ia dijadikan sebagai pengajaran kepada kita semua," ujarnya. 

Tambah beliau, secara amnya, setiap kali kemalangan berlaku, punca insiden biasanya melibatkan kecuaian manusia, tidak menumpukan perhatian kepada SOP di tempat kerja atau tidak patuh peraturan. 

"Soal keselamatan merangkumi semua termasuk kontraktor, pemaju dan pengguna jalan raya. Jadi saya harap ia dapat disiasat dan hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum untuk orang awam tahu," kata Lam Thye.