KUALA LUMPUR: Terengganu bersedia menggerakkan pasukan sukarelawan daripada pelbagai unit serta berikrar untuk membantu sebarang bentuk keperluan banjir untuk disalurkan kepada negeri Johor.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau telah menghubungi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung perkara itu, awal pagi, pada Khamis.

"Pada jam 8.20 pagi ini, saya menghubungi Onn Hafiz untuk bertanya tentang keadaan banjir, mangsa banjir dan apa-apa bantuan yang diperlukan pada waktu ini.

"Saya juga maklum kepada beliau bahawa Terengganu akan menggerakkan pasukan sukarelawan dari pelbagai unit seperti T-Volts, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan lain-lain untuk membantu proses pembersihan pasca banjir nanti insya-Allah.

"Moga rakan taulan di Negeri Johor Darul Takzim tabah dan bersabar dengan ujian ini," katanya dalam muat naik di laman media sosial.



Keadaan banjir di Johor bertambah buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada 25,213 orang setakat jam 8 pagi ini.

Mereka membabitkan 7,013 keluarga yang dipindahkan ke 187 PPS yang dibuka di 10 daerah terjejas banjir.

Keadaan hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.