Skip to main content

Malaysia

21 bank makanan akan dibina di Johor, kurangkan pergerakan gajah ke kawasan penempatan - NRES

Sumber: BERNAMA
Arthur berkata, NRES akan terus memperkukuh langkah mitigasi termasuk operasi translokasi gajah, pembangunan koridor hidupan liar, penyelidikan serta pelaksanaan NECAP 2.0. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) merancang membina tambahan 21 bank makanan (food bank) di Johor bagi mengurangkan pergerakan gajah ke kawasan penempatan dan pertanian, sekali gus mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif itu akan dilaksanakan sebagai tambahan kepada tiga food bank sedia ada di negeri berkenaan.

"Kementerian turut melaksanakan beberapa inisiatif strategik lain bagi menguruskan konflik manusia dan hidupan liar secara lebih berkesan dan mampan antaranya membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah bagi melindungi kawasan berisiko tinggi supaya keselamatan penduduk dilindungi.

"NRES juga membangunkan Santuari Gajah Johor secara berfasa sebagai antara inisiatif strategik untuk menguruskan habitat dengan lebih sistematik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arthur berkata kerajaan turut menyediakan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman sebagai dana kepada pemilik yang mengalami kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, termasuk gajah.

Beliau berkata konflik manusia dan hidupan liar berlaku akibat pelbagai faktor yang saling berkait, termasuk peningkatan populasi manusia dan gajah.

"Pengecilan, pemecahan dan kemerosotan habitat semula jadi akibat pembukaan tanah, pembangunan infrastruktur, aktiviti pertanian serta perubahan guna tanah, sehingga mengganggu laluan tradisional pergerakan gajah yang meningkatkan kemungkinan pertembungan antara haiwan ini dengan manusia," katanya.

Arthur berkata data menunjukkan sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dari 2021 hingga Mei 2026, membabitkan anggaran kerugian RM58.7 juta.

Beliau berkata NRES akan terus memperkukuh langkah mitigasi termasuk operasi translokasi gajah, pembangunan koridor hidupan liar, penyelidikan serta pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP) 2.0.

Merujuk kepada insiden seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan di Jalan Felda Nitar, Mersing, Johor baru-baru ini, Arthur menyeru semua pihak tidak melihat tragedi itu sebagai isu terpisah, sebaliknya keseimbangan antara pembangunan, keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar perlu terus diperkukuh melalui kerjasama semua pihak.

"Memahami reaksi serta emosi masyarakat, tindakan segera dalam menguruskan anak gajah tersebut telah dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara," katanya bahawa kementerian itu memandang serius setiap insiden melibatkan hidupan liar.

Menerusi video tular di media sosial baru-baru ini, seekor gajah betina kelihatan enggan meninggalkan anaknya yang mati selepas dilanggar sebuah Perodua Bezza.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement