KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengisytiharkan Ahad sebagai Hari Batik di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Datuk Razali Idris berkata selain penjawat awam, galakan pemakaian batik itu turut melibatkan petugas sektor swasta, usahawan, mereka yang bekerja sendiri dan seluruh penduduk Terengganu.

"Kerajaan negeri sebenarnya menyokong hasrat pemakaian batik oleh kerajaan Persekutuan pada bila-bila masa sahaja, dan wajib pada Khamis.

"Jadi, saya ambil peluang ini untuk mengangkat semula batik Terengganu yang saya kira sudah mulai malap disebabkan kemasukan batik dari luar negara misalnya dari India dan Pakistan," katanya selepas merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024 di sini, malam tadi.

"Semoga inisiatif ini dapat menjadi medium promosi kepada penghasilan batik Terengganu yang merupakan satu daripada produk bermutu dan berkualiti tinggi serta membantu menjana ekonomi pengusahaan batik Terengganu," katanya.

KBTM 2024 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas bagi mempergiatkan kempen promosi sektor pelancongan dan seni budaya warisan negeri.

-- BERNAMA