KUALA BERANG: Kerajaan Negeri Terengganu sedang menyiasat punca air keruh di kawasan Santuari Kelah dekat Tasik Kenyir di sini yang didakwa bermula pada Khamis lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata masalah itu sedang diteliti secara menyeluruh termasuk dakwaan ia berpunca daripada aktiviti pembalakan berhampiran.
Advertisement
Beliau berkata sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir akan dipantau secara ketat dan tindakan tegas bakal diambil jika terdapat pelanggaran syarat atau peraturan melibatkan kawasan sensitif seperti Santuari Kelah.
“Kerajaan negeri mengambil perhatian serius isu kekeruhan air dilaporkan berlaku di kawasan Santuari Kelah yang mula dikesan Khamis lepas sehingga mendapat reaksi negatif pengunjung.
“Langkah mitigasi akan dilaksanakan segera bagi memastikan kualiti air dan habitat ikan kelah yang menjadi tarikan di Tasik Kenyir terjaga serta tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Razali berkata pemantauan kualiti air oleh agensi berkaitan di situ sedang dipertingkatkan dan maklumat akan disalurkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir dijalankan secara lestari, selamat serta seimbang untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu Razali berkata Kerajaan Pusat melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan melaksanakan kerja pembaikan laluan Melunak Trail, iaitu laluan denai hutan menghubungkan jeti atau pangkalan bot di Tasik Kenyir ke kawasan Gua Bewah.
Beliau berkata kerja menaik taraf tandas, penambahbaikan papan tanda, pintu gerbang dan pembaikan pendawaian lampu solar akan dijalankan di Gua Bewah yang menjadi lokasi penemuan rangka manusia prasejarah pada 2009.
“Kerajaan negeri mengambil maklum laluan Melunak Trail boleh menjadi licin dan berisiko terutama ketika musim tengkujuh.
“Susulan itu, KETENGAH telah mengenal pasti kerosakan di laluan tersebut untuk menyediakan dokumen bagi kerja pembaikan termasuk cadangan menaik taraf titi kayu kepada konkrit demi keselamatan pengunjung,” katanya.
-- BERNAMA